1 . **** merasa gulai. Menyama-nyamai orang berpangkat tinggi (kaya dan sebagainya). merasa gulai = mencuba masin pedas gulai.
2 . Bacang dibungkus tentu baunya keluar juga. Menyimpan rahsia yang telah diketahui umum. (Peribahasa lain yang sama makna: Menyimpan embacang masak).
3 . Badak makan anak. Kiasan kepada orang yang membuang anaknya sendiri kerana takut malu dan sebagainya.
4 . Badan bersaudara; emas perak tiada bersaudara; kasih saudara sama ada, kasih bapa menokok harta yang ada, kasih ibu sama rata; kasih sahabat sama binasa. Bagaimana sekalipun orang berkasih-kasihan, tetapi dengan mudah juga dapat diceraikan, kerana orang lebih mengutamakan harta-benda.
5 . Badan boleh dimiliki, hati tiada boleh dimiliki. Walaupun orang-orang lemah itu di bawah kuasa orang kuat, tetapi hatinya bebas lepas.
6 . Badan sudah dua senyawa. Sudah sehidup semati.
7 . Bagai air daun talas (= keladi). Tidak tetap pendirian; selalu berubah-ubah. (Bandingkan dengan: Air di daun keladi [= talas]).
8 . Bagai air mencari jenisnya. Berusaha untuk mencari ilmu dengan tidak berhenti-henti; usaha dengan tidak mengenal jerih payah.
9 . Bagai air titik ke batu. Memberi nasihat dan ajaran yang sia-sia. (Peribahasa lain yang sama makna: Air di daun keladi [= talas]).
10 . Bagai anak dara mabuk andam. Lemah dan lesu tanpa penyakit. andam = anak rambut di dahi.
11 . Bagai anak dara sudah berlaki. Anak perempuan yang tiada malu, pemalas dan pengotor.
12 . Bagai anak nangui. Banyak sekali. nangui = **** kecil yang banyak anaknya.
13 . Bagai anak sepat ketohoran. Berbaring dan bermalas-malas saja di rumah orang lain.
14 . Bagai anjing beranak enam. Kurus sekali.
15 . Bagai anjing buruk kepala. Orang yang sangat benci oleh masyarakat. (Peribahasa lain yang sama makna: Seperti anjing kepala busuk).
16 . Bagai anjing melintang denai. Sangat gembira; sangat gembira; sangat sombong. denai = jejak binatang besar di hutan.
17 . Bagai anjing tersepit di pagar. Mendapat kesusahan besar sehingga tak tentu tingkah lakunya, meminta pertolongan ke sana ke mari. (Peribahasa lain yang sama makna: Anjing terpanggang ekor).
18 . Bagai api dengan rabuk. Mudah menimbulkan sesuatu hal yang tak baik kalau diperdekatkan. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Bagai kucing dengan panggang [= balur], b. Pantang elang dengan ayam, lambat-laun disambarnya juga, c. Sepantun elang dengan ayam, lambat-laun disambar juga, d. Seperti rabuk dengan api).
19 . Bagai ara hanyut. Tidak terus berjalan ke tempat tujuan, tetapi singgah-singgah di jalan.
20 . Bagai aur bergantung ke tebing, bagai tebing bergantung ke aur. Satu sama lain bertolong-tolongan. (Bandingkan dengan: Sebagai aur dengan tebing).
21 . Bagai aur di atas bukit. Menyerahkan diri kepada nasib.
22 . Bagai ayam dibawa ke lampok. Orang yang tak pernah masuk majlis. lampok = onggok padi sesudah disabit; limpap.
23 . Bagai ayam dimakan (= kena) tungau. Pucat dan kuning kerana menghidap penyakit; sangat gelisah kelakuannya.
24 . Bagai ayam disambar elang. Mati tanpa sakit. (Bandingkan dengan: Ayam ditambat disambar elang, padi di tangan tumbuh lalang).
25 . Bagai ayam kena kepala. Tidak dapat berbuat apa-apa; bingung. kena kepala = kena lempar.
Tuesday, May 19, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)